7 Lelaki Disyaki Kumpulan Abu Sayyaf Ditahan

KUALA LUMPUR – Tujuh lelaki warga Filipina disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, pada 14 September lepas, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata kesemua suspek berumur antara 22 hingga 38 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat swasta ditahan anggota Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata mereka ditahan susulan penangkapan 19 lelaki yang merancang melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan perbarisan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lepas.

“Seorang suspek berumur 22 tahun itu merupakan anggota ASG yang pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina serta aktiviti penculikan di selatan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

Mohamad Fuzi berkata kesemua suspek memasuki negara ini melalui Sandakan, Sabah pada September 2015 sebelum ke ibu negara menggunakan dokumen perjalanan palsu.

“PDRM akan terus mempergiatkan usaha mengesan dan menangkap pengganas asing yang menyusup masuk ke negara sama ada berlindung, mengumpul dana, melancarkan serangan atau menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka bagi merancang serangan ke atas negara ketiga,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata kesemua mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Bab VIA iaitu kesalahan berkaitan keganasan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Beliau berkata 41 warganegara asing yang dikategorikan sebagai Pejuang Pengganas Asing telah ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM sejak awal tahun ini. – BERNAMA