7 Kes Baharu Covid-19, 1 Pulih Hari Ini

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara hanya merekodkan tujuh kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan pandemik itu sebanyak 8,904 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada tujuh kes baharu itu, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warga Malaysia dan seorang bukan warganegara yang berkahwin dengan warga tempatan.

“Empat kes import itu adalah dari Pakistan, Rusia, Australia dan Indonesia.

“Tiga kes tempatan yang dilaporkan di Sabah bukan membabitkan penularan tempatan tetapi adalah hasil saringan sebelum menjalani pembedahan,” katanya ketika sidang media mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, hanya satu kes pulih dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,601 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah kumulatif kes. 

Menurutnya, daripada keseluruhan jumlah kumulatif Covid-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan ketika ini adalah sebanyak 179 kes.

“Sehingga kini, tiada kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya. – myMetro Online

Loading...