6,900 Permit Senjata Api Akan Dibatalkan

KUALA LUMPUR – Polis akan membatalkan permit senjata api milik individu yang menyalahgunakannya untuk kegiatan pemburuan haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ketika ini, pihaknya sedang mengkaji secara teliti proses pembatalan permit itu dan ia akan dibuat secara berperingkat.

“Sudah tiba masa rakyat Malaysia berhenti menjadikan aktiviti memburu sebagai hobi.

“Ada pemilik lesen senjata api menyalahgunakannya (dengan memburu), pemberian permit senjata api akan dikaji semula. Apa guna kita memburu lagi? Tidak ada keperluan.

“Mereka yang menggunakan senjata api untuk jaga tanaman pun saya tidak galakkan untuk menembak, guna cara lain (untuk lindungi tanaman),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Datuk Seri Paddy Abd Halim.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid mendedahkan ada pihak tertentu ‘menjual’ nama orang kenamaan (VVIP) untuk kegiatan pemburuan haram.

“Saya sudah keluarkan arahan untuk tindakan susulan terhadap pendedahan itu.

“Saya juga masih menunggu laporan dan maklumat lanjut daripada orang awam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai pembabitan VVIP dalam isu pemburuan secara haram,” katanya. – BH Online

Loading...