Hamas Kecam Normalisasi Negara Arab Dengan Israel

GERAKAN pembebasan Palestin, Hamas mengecam hubungan yang semakin terbuka antara negara-negara Arab dengan negara haram Israel.

Seorang ahli biro politiknya berkata sedang berlaku “satu gelombang normalisasi antara beberapa negara Arab dengan penakluk Israel.”

Kata Mousa Abu Marzouk di Twitter, pihak Israel menyekat orang Palestin sendiri daripada memasuki negara mereka dan mengusahakan tanah mereka, dan apabila negara-negara Arab tersebut melaksanakan normalisasi hubungan dengan Israel, mereka memberi alasan membantu menyelesaikan masalah Palestin.

“Warga Palestin tidak pernah meminta mereka (membantu Palestin melalui hubungan dengan Israel,” kata Abu Marzouk.

Katanya lagi, satu pelan damai Inisiatif Keamanan Arab yang dimulakan oleh Raja Saudi Abdullah bin Abdulaziz pada 2002 menekankan supaya dihentikan normalisasi hubungan dengan Israel.

Kenyataan Abu Marzouk ini menyusul lawatan pemimpin Zionis Benjamin Netanyahu ke Oman, dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Qaboos bin Said al-Said. Akhbar Israel Jerusalem Post melaporkan kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dan beberapa isu serantau.

Netanyahu menggambarkan akan berlaku normalisasi hubungan Israel dengan beberapa negara Arab dengan berkata beliau akan melawat “beberapa negara Arab lain.” – MEM

Loading...