660 Kes Positif COVID-19, 4 Kematian, 630 Sembuh

PUTRAJAYA – Kes baharu positif COVID-19 hari ini kembali menurun tiga angka iaitu sebanyak 660 menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 50,309 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menjadikan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 12,814 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, terdapat empat kes import yang dikesan mendapat jangkitan dari luar negara iaitu dua kes dari Turki dan masing-masing satu kes dari India dan Arab.

“Sabah mencatatkan 387 kes baharu hari ini iaitu 58.6 peratus daripada jumlah kes hari ini, manakala di Lembah Klang sebanyak 173 kes dilaporkan yang menunjukkan penurunan sebanyak 66.6 peratus berbanding jumlah kes yang dilaporkan semalam.

“Selain itu 171 kes atau 25.9 peratus dikesan dalam kluster di dalam penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS),” katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini. 

Dr Noor Hisham turut memaklumkan empat kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian disebabkan oleh COVID-19 sebanyak 322 kes bersamaan 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, kes kematian itu masing-masing dua dikesan di Ipoh, Perak dan Sandakan, Sabah membabitkan tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 59 hingga 80 tahun yang mempunyai penyakit kronik seperti strok, darah tinggi, dislipidemia dan artritis reumatoid. 

Sementara itu, sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 630 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini sebanyak 37,254 kes bersamaan 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – BH Online

Loading...