65 Peratus Pesakit Covid-19 Lelaki Temui Ajal

PUTRAJAYA – Seramai 65 peratus pesakit koronavirus (Covid-19) lelaki di negara ini menemui ajal berbanding wanita hanya 35 peratus.

Menerusi data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk setiap 1,000 individu dijangkiti, enam orang berkemungkinan meninggal dunia.

“Kadar kematian bagi setiap 1,000 pesakit adalah 0.6 peratus,” katanya.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Menurut kementerian itu, sebanyak 87 peratus kematian yang dilaporkan mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan.

Daripada lapan masalah kesihatan, penyakit darah tinggi merupakan penyumbang terbesar kepada kematian pesakit Covid-19 dengan 61.4 peratus.

Penyakit diabetes melitus berada di tangga kedua dengan 41.3 peratus manakala penyakit jantung berada di tangga ketiga dengan 24.1 peratus.

Selain itu, penyakit kolesterol tinggi menyumbang kepada 19.1 peratus kematian mengatasi penyakit buah pinggang iaitu 14.9 peratus.

Penyakit paru-paru pula menyumbang kepada 10.6 peratus kematian manakala kanser dan penyakit hati masing-masing 4.6 serta 1.7 peratus.

Bagi kategori umur pula, sebanyak 64 peratus kematian melibatkan warga emas berusia 60 hingga 69 tahun.

Peratusan itu mengatasi individu yang lebih tua, iaitu 70 hingga 79 tahun (20.6%) dan usia melebihi 80 tahun (14%).

Kematian melibatkan orang tua berusia 50 hingga 59 pula adalah 20 peratus manakala individu berusia 40 hingga 49 adalah 7.2 peratus.

Golongan dewasa berusia 30 hingga 39 dilaporkan meninggal dunia pada kadar 4.5 peratus manakala individu bawah 30 tahun pula 3.9 peratus kematian direkodkan.

Data yang dikeluarkan itu berdasarkan statistik kematian setakat 22 November lalu dengan jumlah 335 kes. – Sinar Harian