600,000 Isi Rumah M40 Jatuh Ke Kumpulan B40

KUALA LUMPUR – Pendapatan purata kasar bulanan isi rumah menurun 10.3 peratus daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM7,089 pada 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan pada Ogos 2021.

“Berdasarkan laporan ini, pendapatan purata kasar bulanan isi rumah menurun 10.3 peratus daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM7,089 pada 2020.

“Selain itu, insiden kemiskinan meningkat kepada 8.4 peratus membabitkan 639,800 isi rumah berbanding dengan 5.6 peratus atau 405,400 isi rumah pada 2019,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada 2020.

“Di samping itu, kadar pengangguran meningkat dengan ketara kepada 5.3 peratus pada Mei tahun lalu membabitkan 826,100 individu berbanding 3.3 peratus pada 2019.

“Lebih kurang 600,000 isi rumah daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 sebulan jatuh ke kumpulan B40,” katanya.

Menurutnya, bagi meringankan beban individu dan isi rumah yang terkesan, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan di bawah lapan pakej rangsangan ekonomi antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) fasa satu yang keseluruhannya berjumlah RM24.9 bilion.

“Ini membantu 10.9 juta individu dan isi rumah, selain itu moratorium bayaran balik pinjaman kepada lebih tujuh juta peminjam diberikan.

“Diskaun bil elektrik sebanyak RM3.14 bilion yang memanfaatkan 8.8 juta individu dan isi rumah,” katanya.

Katanya, selain itu, inisiatif kerajaan mewujudkan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan yang memanfaatkan 375,000 penerima.

“Kerajaan juga mengekalkan dan mewujudkan pekerjaan termasuk program Subsidi Upah yang membantu kira-kira 300,000 majikan dan mengekalkan lebih 2.7 juta pekerjaan.

“Bagaimanapun, bantuan ini bersifat jangka pendek. Bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah miskin dalam kalangan B40,” katanya.

Menurutnya, antaranya menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan.

“Selain itu, kerajaan menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan dan meningkatkan perlindungan sosial.

“Dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan apabila lebih banyak lagi negeri beralih ke Fasa 2, 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara, kedudukan ekonomi kita dijangka lebih kukuh dan pendapatan isi rumah bulanan akan bertambah baik,” katanya. – myMetro Online