6 Lagi Kematian Akibat COVID-19 Hari Ini

PUTRAJAYA – Enam lagi kematian membabitkan pesakit COVID-19 dilaporkan dan menjadikan jumlah kumulatif kes kes kematian di negara ini sebanyak 43 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-38 (kes ke-2269) ialah seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau ialah kontak kepada kes ke-2750. Beliau sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada semalam, jam 4.04 petang.

“Bagi kes kematian ke-39 (kes ke-2626) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Arab Saudi dan meninggal dunia pada 27 Mac lalu di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes kematian ke-40 (kes ke-2627), ialah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac lalu jam 1:03 petang.

“Kes kematian ke-41 (kes ke-1275) ialah lelaki warganegara Indonesia berumur 40 tahun. Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada hari ini, jam 1.38 pagi tadi.

“Bagi kes kematian ke-42 (kes ke-2628) ialah lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada hari ini, jam 7.09 pagi tadi,” katanya.

Sebanyak 58 kes pulih dan dibenarkan pulang hari ini menjadikan jumlah kumulatif 537 kes Covid-19 berjaya dipulihkan atau 19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini juga terdapat 140 kes baharu yang dilaporkan.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 2,766 kes.

“Sehingga kini, seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah itu, 60 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini. – BH Online

Loading...