6 Daripada 8 Mayat Mangsa Gunung Berapi NZ Dibawa Keluar

WELLINGTON – Enam daripada lapan mayat mangsa letusan gunung berapi di Pulau Putih telah dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Mayat-mayat tersebut telah diterbangkan ke kapal angkatan laut HMNZS Wellington.

Operasi “berkelajuan tinggi” untuk membawa mayat-mayat berkenaan berjalan lancar walaupun berlaku letusan di gunung berapi berkenaan.

Dianggarkan 47 orang pelancong dari seluruh dunia sedang melawat kawasan berkenaan semasa letupan berlaku mengakibatkan lapan terkorban dan 20 orang masih dirawat akibat kesan lecur yang teruk.

Seramai 24 dikenal pasti dari Australia, Amerika Syarikat (AS), New Zealand (5), Jerman (4), masing-masing dua dari China dan United Kingdom manakala seorang dari Malaysia.

Keadaan di pulau itu ‘membolehkan’ kerja-kerja menyelamat dijalankan, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis John Tims.

“Kami dalam keadaan terdesak untuk membawa pulang mangsa-mangsa di sana. Kami memahami perasaan keluarga yang terlibat,” kata Datuk Bandar Whakatane, Judy Turner kepada wartawan.

Operasi mendebarkan itu membabitkan tentera New Zealand.

Mereka dibekalkan dengan pakaian dan peralatan pernafasan khas, diterbangkan dari kapal perang laut ke pulau itu pada waktu tempatan pagi Jumaat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Mike Clement berkata, operasi itu dijalankan dengan cukup berhati-hati.

Pihak berkuasa perlu membawa keluar mayat-mayat itu dengan segera bagi memudahkan mengumpul bukti yang diperlukan untuk memastikan mangsa-mangsa dapat dikenal pasti dengan tepat.

Semua mayat berada dalam lingkungan 200 meter antara satu sama lain, menurut New Zealand Herald. – Agensi

Loading...