6 Angkat Sumpah Senator Sebelum Angkat Sumpah Jawatan Kabinet

KUALA LUMPUR – Seramai enam senator baharu mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini susulan pengumuman pelantikan mereka menyertai kabinet semalam.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran di Bangunan Parlimen di sini. 

Mereka ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang akan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd., Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menerajui Kementerian Kewangan.

Yang lain ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I) dan Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa and Industri.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar); dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).