6 Ahli Geng 35 Ditahan Edar Syabu RM1.4 Juta

ALOR SETAR – Cubaan enam ahli kongsi gelap Geng 35 untuk mengedar sebanyak 28.8 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta gagal apabila mereka ditahan polis di sebuah inap desa di Yan dekat sini pada Ahad lalu.

Keenam-enam suspek termasuk dua beradik berusia antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan dalam tiga tangkapan berasingan di lokasi sama antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Kedah menahan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua lelaki.

“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan, namun mereka akhirnya berjaya ditahan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kedah di sini hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan menemui 28 bungkusan plastik warna kuning bertulis ‘Guanyinwang Refined Chinese Tea’ mengandungi serbuk dan ketulan disyaki syabu di tempat letak kaki penumpang belakang kereta tersebut.

“Susulan daripada tangkapan pertama, kita menahan empat lagi suspek menaiki tiga kereta antaranya jenis Proton Wira dan Perodua Axia yang memasuki kawasan inap desa itu pada pukul 2.15 pagi dan 4 pagi.

“Terdapat empat suspek yang sempat melarikan diri dalam tangkapan ketiga dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Menurut Zainuddin, siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan merupakan ahli kongsi gelap Geng 35 dari Sungai Petani yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan kegiatan gangsterisme.

“Kita percaya kumpulan ini menjadikan kawasan inap desa di daerah Yan kerana menyangkakan kawasan tersebut selamat daripada dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, bekalan syabu seberat 28.8 kg itu mampu menampung permintaan kira-kira 56,000 penagih.

Loading...