59 Tan Sampah Dikutip Dari Sungai Lembah Klang

KUALA LUMPUR – Sebanyak 58,847 kilogram (kg) sampah telah dikutip dari sungai-sungai sekitar Lembah Klang sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Demikian didedahkn Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Beliau berkata ia dilakukan di bawah​​​​​​ program pembersihan sungai melalui projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL).

“Melalui data yang dikumpulkan oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), sampah yang dikutip pada 2015 ialah 59,316 kg bagi tempoh masa sama manakala pada 2016 peningkatan lebih sekali ganda iaitu 123,154 kg dicatatkan.

‘’Kerajaan amat memandang serius isu ini kerana bimbang dengan trend peningkatan sampah yang dikutip dari sungai setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Teks ucapan Tengku Adnan dibacakan oleh wakil beliau iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Datuk M Noor Azman Taib.

Beliau berkata bagi mengatasi isu itu, program penguatkuasaan untuk mengawal aktiviti pembuangan sampah secara haram dan usaha meningkatkan program kesedaran awam perlu dipergiat. – BERNAMA