Friday, April 19, 2024

Creating liberating content

Ekonomi Sabah Merosot Di...

KUALA LUMPUR - Biarpun hampir dua tahun Pakatan Harapan (PH) menerajui Sabah dan...

44 Penagih Ditahan Dalam...

KUALA LUMPUR - Sejumlah 44 individu termasuk lapan wanita disyaki terbabit dalam penyalahgunaan...

Saman Sekolah, Guru Biar...

KUALA LUMPUR — Seorang bapa bertindak memfailkan saman cuai terhadap sebuah sekolah swasta...

UMNO: Setiap Negeri Perlu...

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyarankan...

56 Kes Positif Covid-19 Hasil Saringan Sebelum Sidang Parlimen

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai pelbagai agensi kerajaan disahkan positif Covid-19 menerusi ujian saringan dilakukan sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan 56 kes yang positif daripada 2,093 individu menjalani ujian saringan, 39 orang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin.

“Hasil siasatan dan penilaian risiko dijalankan setakat semalam, kes positif ini tidak mempunyai kaitan epidemiologi antara satu sama lain.

“Individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen dan diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif ini sebelum bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan diteruskan untuk mengesan kontak rapat kepada kes positif itu.

“Sehingga semalam, empat orang kontak rapat disahkan positif Covid-19 dan mereka ini tidak hadir sejak dari hari pertama persidangan berlangsung dan sedang dalam tindakan susulan pihak kesihatan.

“Seperti makluman umum, Sidang Mesyuarat Khas Parlimen berlangsung bermula 26 Julai sehingga 29 Julai dan 2 Ogos bertempat di Dewan Parlimen Negara.

“Pihak Parlimen bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membangunkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 sepanjang persidangan ini,” katanya.

Katanya, antara SOP yang ditetapkan kepada semua individu yang terbabit dalam persidangan adalah diwajibkan menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) iaitu tiga hari sebelum hadir ke Parlimen bagi ahli Parlimen, pegawai pengiring dan kementerian.

“Manakala bagi pihak media, kakitangan parlimen dan kontraktor, ujian makmal ini haruslah dibuat dalam tempoh lima hari sebelum hadir di Parlimen.

“Individu yang bergejala juga dilarang hadir dan memasuki Parlimen.


“Ketika hari persidangan berlangsung, individu dengan keputusan negatif Covid-19 harus membawa salinan keputusan ke Parlimen sebagai bukti manakala individu yang bergejala hendaklah diasingkan dan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, penilaian risiko serta ujian saringan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, booth Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dipasang di Parlimen bagi menyediakan perkhidmatan RTK-Ag Self-Test Kit Saliva untuk saringan kendiri individu yang bergejala.

“Sebelum mendaftar masuk secara harian sepanjang tempoh persidangan, individu diwajibkan mendaftar kehadiran menggunakan imbasan kod respon pantas (QR) melalui aplikasi MySejahtera serta mengemaskini status risiko Covid-19 di paparan ‘Update My COVID-19 Risk Status‘ dalam aplikasi itu.

“Hanya individu yang negatif ujian pengesanan Covid-19, berstatus risiko rendah atau kontak kasual dan tidak bergejala akan dibenarkan masuk ke sidang Parlimen. Bagi individu yang tidak mempunyai telefon pintar, mereka perlu merekodkan kehadiran secara manual,” katanya.

Katanya, mengambilkira situasi semasa COvid-19 di Malaysia, keputusan saringan yang dijalankan sebelum Parlimen dan bagi mencegah penularan Covid-19 semasa persidangan ini berlangsung, KKM mencadangkan supaya jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan.

“Perkara ini dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan semasa Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak Covid-19 pada 26 Julai 2021 jam 8 pagi.

“Bagi memastikan Sidang Khas Parlimen terus berjalan lancar, semua individu dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan sedia ada,” katanya.

Menurutnya, KKM akan terus memantau perkembangan situasi di Parlimen dan pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama MKAK ditempatkan di bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala ke atas semua yang memasuki bangunan Parlimen.

“Sehingga semalam, seramai 104 individu menjalani ujian saringan kendiri RTK-Ag Self Test Kit menggunakan sampel saliva dan mendapati kesemuanya negatif Covid-19 dan buat masa ini tiada penularan jangkitan dikesan. Namun, pemantauan dan penilaian risiko akan diteruskan sehingga Sidang Mesyuarat Parlimen ini tamat,”katanya. – myMetro Online

Kategori