5,400 Lepasan UPSR Keluarga B40 Berjaya Ke MRSM

KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,400 pelajar lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berjaya melangkah ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi pembelajaran tahun 2019.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah itu mewakili 70 peratus daripada kuota maksimum 7,760 tempat yang ditawarkan bagi pelajar daripada golongan itu di 54 MRSM seluruh negara.

Jelasnya, angka itu sekali gus melepasi sasaran awal 65 peratus pelajar daripada golongan itu yang ditetapkan oleh kementerian sebelum ini.

“Saya ingin maklumkan untuk keputusan MRSM 2019 sebanyak 70 peratus pelajar daripada keluarga B40, 20 peratus daripada keluarga M40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan ) dan baki 10 peratus adalah T20 (kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus tertinggi).

“Kami sudah keluarkan keputusan itu pada 21 Dis lepas, lebih awal daripada kebiasaan untuk membantu ibu bapa membuat persiapan awal sesi persekolahan anak mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program gunting rambut percuma ‘Segak ke Sekolah’ di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Jelatek, di sini, hari ini.

Program itu turut diadakan serentak di tiga lagi kawasan PPR di bawah Parlimen, iaitu PPR Hiliran Ampang, PPR Laksamana dan PPR Cochrane Perkasa yang memberi manfaat kepada 600 kanak-kanak.

Mengulas lanjut berhubung kemasukan MRSM itu, Rina yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa berkata kelayakan pelajar dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan UPSR dan pendapatan isi rumah keluarga serta beberapa kriteria lain.

“Kami sudah bergerak melangkah ke hadapan yang sebelum ini dikatakan MRSM untuk golongan elit. Jadi kami sasarkan sekurang-kurangnya 65 peratus daripada golongan B40 adalah langkah pertama yang kementerian lakukan.

“Jadi dari semasa ke semasa kami akan lihat keadaan termasuk peluang kepada pelajar M40, termasuk ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai dan sebagainya. Ini kerana kami ada beberapa penilaian yang kami buat dan jika mereka rasa mereka layak, mereka boleh buat rayuan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran dalam aspek keputusan UPSR diberikan kepada pelajar luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, dengan harapan mereka mendapat tempat serta sistem pembelajaran yang lebih kondusif dan mendapat keputusan lebih cemerlang pada masa depan.

Kementerian itu menerima sebanyak 70,000 permohonan kemasukan untuk ke Tingkatan 1 MRSM. – BERNAMA