54 Pengikut Syiah Ditahan JAINJ Termasuk Warga Singapura

JOHOR BAHRU – Seramai 54 individu dipercayai pengikut fahaman Syiah ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di sebuah rumah agam di Taman Bukit Kempas Johor Bahru Isnin lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi berkata, siasatan awal mendapati premis di Taman Bukit Kempas itu lokasi baharu kumpulan tersebut selepas Mount Austin.

“JAINJ menahan 54 individu melibatkan 31 lelaki dan 23 wanita termasuk empat kanak-kanak berusia dua tahun hingga 12 tahun dalam Ops Hauzah pada 9 September lalu.

“Daripada 54 yang ditahan, lapan adalah warga Singapura, seorang warga Indonesia dan seorang dari Yaman.

“Lokasi yang lazim menjadi pusat operasi kumpulan itu di Mount Austin, tapi kami dapat maklumat bahawa mereka telah berpindah ke lokasi baharu di Kempas di rumah tiga tingkat ini,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar hari ini.

Menurutnya, lapan individu ditahan sementara untuk membantu siasatan manakala 46 lagi diberikan saman hadir.

“Daripada lapan yang ditahan sementara itu, empat warga tempatan, dua lagi rakyat Singapura, seorang warga Indonesia dan seorang lagi warga Yaman.

“Ramai yang ditahan ini adalah keluarga malah mereka membawa anak bersama-sama. Rumah agama ini milik bukan Islam jadi berkemungkinan mereka menyewa untuk aktiviti itu,” katanya.

Katanya, ketika serbuan pelbagai barangan disita termasuk kain rentang yang jelas menjadi elemen dan bukti wujudnya aktiviti Syiah selain nota serta kitab berkaitan ajaran fahaman itu.

“Ketika pasukan operasi sampai, mereka baru selesai melakukan aktiviti berkumpulan dan setelah disoal siasat mereka kata hanya baca Yasin dan tahlil khusus kepada Saidina Hussien bin Saidina Ali.

“Mereka menafikan ada sesi penyampaian kuliah dan sebagainya. Ketika serbuan mereka baru nak mula jamuan. Kita sita kain rentang, kitab dan nota ajaran Syiah,” katanya.

Mengulas lanjut, Tosrin berkata, pihaknya percaya ada dalam kalangan pengikut yang ditahan merupakan ahli baharu yang dilatih.

“Mereka asal daripada pelbagai tempat. Daripada luar Johor Bahru ada, dari Mersing juga ada. Ada tiga orang pernah ditahan sebelum ini.

“Ketua mereka berusia sekitar 40-an, bukan public figure, pernah ditahan sebelum ini tahun 2017 di Johor dan warga tempatan,” katanya.

Beliau menegaskan operasi berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sekali gus menafikan dakwaan berlaku kekerasan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan berlaku kekerasan ketika operasi dijalankan.

“JAINJ menjalankan operasi mengikut SOP ditetapkan,” katanya.

Loading...