53 Keluarga Orang Asli Kg. Bendaling Bakal Nikmati Elektrik

PEKAN – Seramai 215 penduduk membabitkan 53 keluarga Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Bendaling dekat sini, kini boleh menarik nafas lega apabila hasrat mereka untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik akan terlaksana tidak lama lagi.

Tok Batin kampung tersebut Manda Mat, 62, berkata penduduk kampung gembira kerana setelah menunggu sekian lama akhirnya mereka akan dapat nikmati kemudahan itu.

Katanya tiang elektrik telah pun dipasang Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini namun dihentikan kerja-kerjanya seketika berikutan pandemik COVID-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas

“Ini merupakan tanah adat kami dan sudah beberapa generasi tinggal di sini tanpa bekalan elektrik,” katanya selepas program penduduk Orang Asli bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain di kampung itu hari ini.

Manda berkata bekalan elektrik itu dilihat akan memberikan banyak kemudahan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan yang selama ini menggunakan pelita yang diisi dengan minyak sawit relai, yang dikutip berhampiran ladang di kawasan itu.

Terdahulu, Anggota Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada program itu berkata beliau telah menghubungi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah untuk memastikan TNB menyambung elektrik terus ke setiap kediaman komuniti itu menerusi projek pemasangan tiang TNB yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya Shamsul Anuar juga telah mengarahkan pihak TNB menyambung kembali kerja-kerja tersebut serta-merta.

PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai nanti, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dengan dua lagi calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar, termasuk 18 pemilih awal, dalam DUN Chini,  yang merupakan satu daripada empat DUN dalam Parlimen Pekan.

Daripada jumlah itu, 1,900 atau 22 peratus adalah pengundi dalam kalangan masyarakat Orang Asli. – BERNAMA

Loading...