5 Termasuk 4 Kanak-Kanak Rentung Kebakaran Rumah

TENOM – Lima sekeluarga rentung dan seorang cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Menara Pamilaan, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, mangsa yang rentung ialah Khatijah Omar, 35 dan tiga anaknya Sapura Sudirman, 3, Zahid, 6, dan Sakirin, 9.

Seorang lagi mangsa yang rentung ialah anak saudara Khatijah, Adira Suhaili, 12.

Lima mangsa yang rentung itu ditemui oleh pasukan bomba di dalam rumah berkenaan.

Difahamkan, dalam kejadian itu, suami Khatijah, yang dikenali sebagai Sudirman Hajar, 40, turut melecur di kepala dan tangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.46 tengah malam.

Katanya, sepasukan bomba dari BBP Tenom yang diketuai Zainal Sinsian bersama lima anggota dikerah ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera.

“Setiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya dan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan sumber air daripada tangki jentera.

“Terdapat enam mangsa terbabit dalam kebakaran itu dan lima mangsa ditemui rentung oleh pasukan bomba manakala seorang mangsa cedera melecur di kepala dan tangan.

“Mangsa yang melecur sudah dihantar ke Hospital Tenom oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 1.25 pagi dan kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta Perodua Kancil.

Katanya, pihak Forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden itu.

Loading...