5 Sekeluarga Terperangkap Ekoran Tanah Runtuh

LIMA sekeluarga terperangkap apabila satu-satunya jalan penghubung tersekat dengan timbunan tanah dan pokok di Kota Raja berhampiran Taman Meru 2C, Ipoh, semalam.

Lapor Sinar Harian, mangsa menyedari kejadian itu ketika keluar mendapatkan rawatan susulan untuk anaknya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kejadian tersebut hanya membabitkan lima sekeluarga berkenaan yang tinggal di kawasan kebun, jauh dari jiran-jiran.

Pihak Bomba dan Penyelamat Meru Raya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.26 pagi dan seramai lima orang anggotanya dikejarkan ke loksi kejadian.

Ketua Operasinya, Mohamad Khamis Harun berkata, pihaknya membuat pemantauan dan pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum menghubungi bantuan daripada agensi berkaitan.

“Difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membantu membersihkan kawasan jalan terbabit bagi membolehkan keluarga itu melalui jalan berkenaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, kawasan berkenaan tidak selamat dan berisiko untuk berlaku gelinciran tanah sekali lagi,” ujarnya.

Kejadian tanah runtuh ini merupakan kali kedua telah berlaku di kawasan tersebut disebabkan sangat mudah terkena hakisan seterusnya berlaku tanah runtuh. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Loading...