5 Sekeluarga Maut Kereta Bertembung Bas

RAUB – Lima sekeluarga terbunuh dalam kemalangan yang membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta di Kilometer 325, Jalan Kuala Lumpur – Kota Bharu berhampiran Kampung Jeram Besu, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.54 pagi itu, semua mangsa yang terbunuh adalah pemandu bersama empat penumpang kereta Proton Persona selepas bertembung dengan bas ekspres Mutiara.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Mohd Sajury Abdullah, 63; Sobariah Haron, 54; Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 27; Nur Ilham Najwa Rahimi, 20 dan Uwais Al Qurney Abdullah, 6.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu oleh Mohd Sajury dari arah Kuala Lumpur dipercayai terbabas ke laluan bertentangan.

“Bas ekspres yang dipandu oleh Mazlan Jusoh, 53, dari arah Kota Bharu tidak sempat mengelak kereta yang terbabas itu menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung di lokasi kejadian.

“Kereta Proton Persona terbabit remuk teruk setelah tercampak ke dalam longkang manakala bas ekspres melanggar dua lot kedai di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kelima-lima mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu bas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” ujarnya.

Beliau memberitahu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bas ekspres terbabit akan dihantar ke jabatan forensik untuk siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – K! ONLINE

Loading...