5 Lelaki Indonesia Tawar Seks Sejenis Ditahan

GEORGE TOWN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket warga asing menawarkan khidmat seks kepada kaum sejenis selepas menahan 5 lelaki homoseksual dari Indonesia dalam serbuan di sebuah hotel, malam tadi.

Kelima-lima lelaki yang berumur antara 20 dan 30 tahun itu dipercayai masuk ke negara ini hanya untuk memuaskan nafsu songsang melalui langganan yang dibuat menerusi laman web khas atau aplikasi khas, kata Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Pulau Pinang Kholijah Mohamad hari ini.

Katanya, kejayaan membongkar taktik sindiket yang menawarkan aktiviti tidak bermoral itu adalah hasil intipan dan risikan sejak 2 minggu lepas sebelum serbuan di bawah operasi Op Tegar dibuat malam tadi yang turut melibatkan rampasan wang tunai RM3,500, pasport, kondom dan gel untuk golongan lelaki.

“Kami mendapati kelima-lima lelaki warga asing yang ditahan ini masuk ke negara ini secara sah dan tinggal untuk tempoh antara 1 dan 2 minggu bagi memenuhi tempahan yang mereka terima sebelum pulang ke Indonesia dan kembali lagi apabila menerima tempahan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Katanya, pemeriksaan ke atas aplikasi yang digunakan turut menunjukkan pelanggan pendatang ini berumur antara 25 dan 40 tahun yang dikenakan bayaran antara RM150 dan RM250 sejam untuk perkhidmatan seks yang ditawarkan.

“Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 kerana menyalahgunakan pas lawatan,” katanya.

Peraturan ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Loading...