5 Lelaki Direman Kes Bunuh Di Hadapan Kelab Malam

IPOH – Lima lelaki ditahan reman selepas dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan melibatkan dua kumpulan lelaki dalam kejadian di hadapan kelab malam di Bandar Baru Medan Ipoh di sini semalam.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Mei depan itu dikeluarkan Majistret Umzarul An-Nur Umar di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dibawa ke mahkamah pada pukul 9.30 pagi sebelum keluar 45 minit kemudian.

Semua mereka ditahan di hadapan kelab malam berkenaan semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang lelaki maut selepas dia ditetak dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah kelab malam di Bandar Baru Medan Ipoh di sini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 8 pagi itu, mangsa, S. Karunakaran, 35, mengalami kecederaan parah selepas dia diserang empat lelaki bersenjatakan parang.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu itu bagaimanapun meninggal dunia ketika dibawa masuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berlaku ketike mereka sedang berhibur dan mabuk.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE

Loading...