5 Kluster Baharu Covid-19 Dikesan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kluster itu dikesan di Sabah, Labuan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Putrajaya.

Menurutnya, Kluster PTS Tawau dilaporkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Tawau yang sudah menjangkiti 104 individu. 

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-15,423) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 Oktober lalu. 

“Saringan kontak rapat mengesan 103 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Kluster Tenaga pula membabitkan subzon Batu Arang di Labuan dan kes bagi kluster ini dikenal pasti positif hasil saringan bersasar terhadap komuniti berisiko tinggi pada hari ini.

“Seramai 57 individu dikesan positif, manakala 46 orang lagi masih menunggu keputusan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Kluster Gedong dikenal pasti di Seremban, Port Dickson dan Rembau di Negeri Sembilan; Petaling, Selangor; Johor Baharu, Johor; serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster itu (kes ke-29,341) dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Rembau.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 11 lagi kes positif Covid-19, manakala 19 individu dikesan negatif dan 30 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Bagi Kluster Wisma Saberkas yang membabitkan daerah Kuching, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster itu (kes ke-30,813) dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Umum.

Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari ini seramai lapan kes dikesan positif termasuk tiga kes baharu, manakala 10 individu negatif dan 112 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster kelima adalah Kluster Seridana berlaku di Putrajaya dengan kes indeksnya (kes ke-32,505) dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober lalu dan saringan kontak rapat mengesan sebanyak empat lagi kes positif.

“Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Seramai 26 individu masih menunggu keputusan,” katanya. – myMetro Online