5 Kluster Baharu Covid-19 Dikesan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima lagi kluster baharu Covid-19 di Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Johor dan Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster terbabit adalah Kluster Tapak Bina Jalan Gadang, Kluster Menara Sri, Kluster Bukit Pasir, Kluster Pintu Geng dan Kluster Putra 15.

Menurutnya, Kluster Tapak Bina Jalan Gadang adalah kluster tempat kerja membabitkan daerah Lembah Pantai dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kes bagi kluster itu dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 13 Disember lalu melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan. 

Menurutnya, seramai 375 individu disaring, di mana 13 kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster itu.

“Kluster Menara Sri juga berkaitan tempat kerja di Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Kerian di Perak. 

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-99,803) dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Disember lalu melalui saringan individu bergejala dan seramai 51 individu sudah disaring dengan 14 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Bukit Pasir juga berkaitan tempat kerja membabitkan daerah Muar di Johor di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-100,103) dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Disember lalu melalui saringan individu bergejala. 

“Sehingga hari ini, sejumlah 14 individu disaring dan sembilan kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Kluster Pintu Geng pula membabitkan daerah Kota Bharu di Kelantan di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-101,557) dilaporkan positif Covid-19 pada 25 Disember lalu melalui saringan individu bergejala. 

“Seramai 130 individu sudah disaring, 21 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Putra 15 pula membabitkan tempat kerja diWilayah Persekutuan Putrajaya di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-103,898) dilaporkan positif Covid-19 pada 26 Disember lalu melalui saringan individu bergejala. 

“Sehingga hari ini, 31 individu disaring dan lapan daripadanya positif Covid-19,” katanya. – myMetro Online