5 Kluster Baharu Covid-19 Dikesan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia mengenal pasti lima kluster baharu di Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima kluster baharu itu ialah Kluster Sutera di Kota Kinabalu, Sabah; Kluster Ria-30 di Tuaran, Sabah; Kluster Tamar di Petaling, Selangor; Kluster Intan di Timur Laut, Pulau Pinang dan Kluster Danau di Titiwangsa, di sini.

“Kluster Sutera dikesan menerusi kes indeks ke-35,499 dan kes ke-35,500 hasil saringan individu bergejala pada 2 November lalu dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 13 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari, 32 individu disaring, 15 daripadanya dikesan positif Covid-19, enam individu dikesan negatif dan 11 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Ria-30 pula dikesan di daerah Tuaran hasil saringan komuniti sejak 2 November lalu dan semua kes dalam kluster ini dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Intan di Sepanggar, Sabah.

“Sehingga hari ini seramai 254 individu disaring, 11 daripadanya dikesan positif Covid-19, 121 individu dikesan negatif dan 122 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster ketiga dikesan adalah Kluster Tamar yang dikesan di daerah Petaling, Selangor menerusi kes indeks ke-32,410 hasil saringan individu bergejala pada 1 November lalu.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif Covid-19 dan mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Setakat hari ini seramai 137 individu disaring,10 kes dikesan positif, 57 individu dikesan negatif dan 70 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Menurutnya, Kluster Intan dikesan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 29 Oktober lalu.

“Sehingga hari ini seramai 98 individu disaring di mana sembilan kes dikesan positif, 35 individu dikesan negatif dan 54 individu masih menunggu keputusan.

“Kluster terakhir dikesan ialah Kluster Danau di Titiwangsa, Kuala Lumpur hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober lalu. Sehingga hari ini seramai 82 individu disaring, lapan daripadanya dikesan positif dan 34 individu masih menunggu keputusan,” katanya. – myMetro Online