5 Kes Baharu Covid-19, 16 Pulih Hari Ini

SEBANYAK lima kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini, sekali gus merekodkan 9,296 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lima kes baharu itu, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan warganegara yang pulang dari Filipina dan Mesir.

“Manakala ketiga-tiga kes penularan tempatan berlaku di Melaka membabitkan dua kes jangkitan saringan pra-pembedahan dikesan di Hospital Kem Terendak, Sungai Udang dan satu kes jangkitan tempatan saringan bergejala di hospital sama.

“Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 berkurangan kepada 177 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 16 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,994.

Beliau berkata, sehingga kini, lapan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 125 kes iaitu 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – myMetro Online

Loading...