5 Guru Agama Maut, 8 Lagi Cedera Kemalangan

NARATHIWAT – Lima orang guru agama maut dan lapan lagi cedera dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bercuti di Malaysia.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi (waktu tempatan) hari ini, van yang membawa 12 orang guru wanita dari Sekolah Agama Darussalam, Ranget, Narathiwat terbabas di Kampung Lubuk Sawa, Bachok, Kelantan.

“Pemandu van, 36, dipercayai keletihan dan mengantuk menyebabkan van itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan,” katanya kepada pemberita.

Empat orang guru meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di hospital manakala lapan lagi yang cedera termasuk pemandu van menerima rawatan di Hospital Bachok dan Hospital Narathiwat Rachanakharin.

Rombongan itu merupakan antara tiga buah van yang membawa guru-guru dan pegawai sekolah bercuti di Malaysia sempena musim cuti persekolahan.

Loading...