48 Permohonan Perkahwinan Bawah Umur Di Selangor

SHAH ALAM – Bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 48 permohonan pendaftaran perkahwinan orang Islam bawah umur dicatatkan di Selangor, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 34 permohonan diluluskan dan 14 ditolak.

“Bagi (permohonan) perkahwinan orang bukan Islam adalah di bawah kawalan Jabatan Pendaftaran,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) yang ingin tahu jumlah permohonan dan kelulusan untuk perkahwinan bawah umur 18 tahun yang dicatatkan sepanjang tempoh tersebut.

Menjawab soalan Lim Yi Wei (DAP-Kampung Tunku) yang ingin tahu jumlah permohonan perkahwinan orang Islam bawah umur yang dicatatkan selepas pindaan rang undang-undang berkenaan perkahwinan bawah umur diluluskan, menteri besar berkata sehingga kini masih belum ada.

“Ini kerana enakmen itu hanya akan dilaksanakan bermula Januari 2019, jadi ketika ini sehingga Disember tahun ini kita masih gunakan enakmen lama,” katanya.

Pada 5 Sept lepas, DUN Selangor meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2018) yang antara lain menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam dari 16 ke 18 tahun di negeri itu.

Amirudin ketika membentangkan usul pindaan RUU itu berkata di bawah pindaan tersebut, setiap permohonan perkahwinan bawah umur 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran hakim Mahkamah Syariah di Selangor.

Ketika ini, Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah menetapkan bahawa umur minimum perkahwinan bagi lelaki Islam ialah tidak kurang daripada 18 tahun manakala bagi perempuan Islam tidak kurang daripada 16 tahun.

Selangor merupakan negeri pertama meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 berkenaan had umur minimum perkahwinan orang Islam di negeri itu, susulan isu perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 yang berlaku di selatan Thailand sebelum ini.

Pindaan itu turut diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memandang serius kes-kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda. – BERNAMA

Loading...