47 Rugi RM2.6 Juta Ditipu Skim Pelaburan ‘Datuk Seri’

ALOR SETAR – Seramai 47 individu mendakwa kerugian RM2.6 juta ditipu sebuah syarikat didalangi seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ yang menjanjikan pulangan lumayan melalui satu skim pelaburan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, jumlah itu merangkumi tempoh 2017 hingga tiga bulan pertama tahun ini dengan 26 kes pada 2017, tiga pada 2018 dan 18 kes setakat Mac tahun ini.

“Datuk Seri berkenaan telah menawarkan skim pelaburan ini sejak 2016 dengan menjanjikan pulangan sebanyak lapan peratus setiap bulan kepada individu yang berminat. Pulangan yang tinggi itu menarik perhatian pelabur yang sanggup melabur sehingga RM230,000.

“Rata-rata mangsa yang ditipu terdiri daripada mereka yang bekerja dalam pelbagai bidang dan juga pesara yang berumur 25 hingga 76 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar Amri berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan berkenaan penipuan pelaburan itu dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita ingin nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia di bawah Bank Negara Malaysia dan perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa sekiranya meragui skim yang ditawarkan.

“Orang ramai juga boleh merujuk kepada Investor Alert untuk maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau menghubungi JSJK Kedah di talian 04-7741354 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Loading...