45 Pulih, 6 Kes Baharu COVID-19 Dilaporkan

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara hanya merekodkan enam kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,596 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada enam kes baharu yang dilaporkan itu, dua membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Ia masing-masing membabitkan satu warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Manakala, empat kes penularan dalam negara dikesan dalam kalangan warga tempatan. Perinciannya, Selangor merekodkan tiga kes baharu iaitu masing-masing satu kes babitkan kes saringan pusat tahfiz, Kluster Kondominium Hulu Langat dan Kluster Bukit Bintang manakala di Sarawak satu kes Kluster Tapak Pembinaan Kuching,” katanya.

“Terdapat 45 kes pulih dan dibenarkan discaj dari hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,231 kes dengan kadar kesembuhan 95.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 244 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

“Sehingga kini, sebanyak tiga kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – myMetro Online

Loading...