4,490,270 Dos Vaksin Diagihkan, KL Tertinggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,490,270 dos vaksin sudah diagihkan ke seluruh negara, setakat semalam.

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), sebanyak 3,132,304 ialah suntikan dos pertama, manakala selebihnya iaitu 1,357,966 ialah suntikan dos kedua.

Secara perbandingan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih merekodkan kadar tertinggi pemberian suntikan vaksin dengan 675,085 dos, diikuti Selangor (636,914), Sarawak (474,140), Perak (366,418) dan Sabah (352,914).

Laporan harian JKJAV turut menunjukkan seramai 13,789,736 atau 56.8 peratus daripada keseluruhan individu berusia 18 tahun ke atas di negara ini, setakat semalam sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin menerusi MySejahtera.

Dalam perkembangan lain, JKJAV menjelaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang mengenai tarikh luput yang tertera di aplikasi MySejahtera mereka.

Katanya, hal itu kerana tarikh berkenaan ialah bagi bekalan vaksin yang diterima dan tiada kaitan dengan pemberian suntikan dos kedua.

“Tarikh untuk dos kedua akan diberikan nanti di MySejahtera bagi vaksin AstraZeneca,” katanya.

Semalam, Anne Zakira Maswani Abdullah Zawawi, membangkitkan persoalan mengenai tarikh luput 30 Jun 2021 yang tertera pada aplikasi MySejahtera miliknya, sedangkan suntikan dos pertama baru diterima pada 6 Jun lalu. – BH Online