43% Rakyat Percaya Malaysia Tak Ikut Hala Tuju Sewajarnya

KUALA LUMPUR – Kajiselidik yang dijalankan Ipsos Malaysia sejak Mac hingga April lalu mendapati 43 peratus rakyat negara ini percaya bahawa Malaysia tidak mengikut hala tuju sewajarnya sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Pengarah Urusannya, Arun Menon, kebimbangan rakyat itu semakin meningkat berbanding kajiselidik sama yang dijalankan antara Jun hingga Julai 2018 pada kadar 25 peratus.

“Kajian terkini Ipsos mendapati tiga kebimbangan utama dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu jenayah dan keganasan, inflasi atau kos sara hidup serta rasuah kewangan dan politik.

“Keresahan tentang jenayah dan keganasan kini menjadi kebimbangan paling utama dalam kalangan rakyat Malaysia berbanding rasuah sebelum PRU14,” katanya ketika membentangkan kajiselidik Ipsos Malaysia dalam Forum Adakah Malaysia Mengikut Hala Tuju Sewajarnya di sini, hari ini.

Edisi terkini ”What Worries The World” oleh Ipsos mendapati bahawa tiga kebimbangan utama warga global adalah rasuah kewangan dan politik, jenayah dan keganasan dalam masyarakat serta pengangguran.

Kajiselidik itu juga mendapati kedudukan kebimbangan rakyat terhadap jenayah dan keganasan dalam masyarakat berada di tempat pertama selepas kebimbangan terhadap rasuah dikurangkan di kedudukan ketiga sejak dua bulan lalu.

“Kini lima kebimbangan utama rakyat Malaysia ialah jenayah dan keganasan dalam masyarakat sebanyak 39 peratus, inflasi atau kos sara hidup (34%), rasuah (32%), kemiskinan (31%) serta pengangguran dan kerja (28%).

“Dapatan ini berbeza dengan lima kebimbangan utama pada Mac dan April 2018 iaitu rasuah kewangan atau politik sebanyak 47 peratus, jenayah dan keganasan dalam masyarakat (40%), inflasi atau kos sara hidup (32%), pengangguran dan kerja (32%) serta kemiskinan (28%),” katanya.

Arun turut mendedahkan bahawa kedudukan rasuah telah menurun ke tempat keempat dalam senarai kebimbangan utama rakyat Malaysia di Wilayah Tengah dan juga dalam kalangan bukan Bumiputera.

“Ia juga menduduki tempat ketiga dari senarai kebimbangan utama rakyat Malaysia dalam kalangan mereka berpendapatan isu rumah tinggi iaitu RM5,000 dan ke atas,” katanya.

Katanya lagi, inflasi atau kos sara hidup kini merupakan kebimbangan lebih utama berbanding dengan rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia pada umumnya.

“Bagi rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar, inflasi dan kos sara hidup kini merupakan kebimbangan utama.

“Faktor ini juga menjadi kebimbangan utama bagi golongan belia berumur antara 18 hingga 24 tahun dan golongan isi rumah berpendapatan rendah ke sederhana antara RM1,000 hingga RM3,000,” katanya.

Sementara itu, sentimen rakyat Malaysia terhadap ekonomi kini kurang optimistik dan mereka merasakan keadaan ekonomi semasa di kawasan setempat masing-masing semakin lemah selepas PRU14.

“Hanya 27 peratus rakyat Malaysia menjangkakan pengukuhan ekonomi dalam tempoh 6 bulan akan datang berbanding dengan 57 peratus selepas PRU14,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...