41 Kes Baharu COVID-19, 38 Kes Penularan Dalam Negara

PUTRAJAYA – Sebanyak 38 daripada 41 kes baharu COVID-19 merupakan kes penularan dalam negara dilapor hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 38 kes penularan dalam negara itu, seramai 32 orang merupakan bukan warganegara manakala selebihnya dalam kalangan warga Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu sebanyak 8,494 kes,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Memperincikan kes penularan dalam negara melibatkan bukan warganegara itu, Dr Noor Hisham berkata 31 kes dikesan di Negeri Sembilan iaitu 14 kes di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson membabitkan Orang Kena Tahan (OKT) yang dipindahkan ke akademi itu dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Sebanyak 15 kes di Kluster Pedas dan dua kes di Kluster Syarikat Pembersihan,” katanya sambil menambah satu kes lagi dikesan di ibu negara melalui saringan tempat kerja oleh majikan di syarikat mengendalikan pekerja pembersihan.

Mengenai kes penularan dalam negara melibatkan warga tempatan pula, beliau berkata dua kes dikesan di Selangor, satu kes Jangkitan Pernafasan Akut (Acute Respiratory Infection) (ARI) di pusat jagaan warga emas di Kuala Selangor yang dikesan di Hospital Tanjung Karang dan satu kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8,294).

“Melaka (dua kes) iaitu satu kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (ke-7,817) dan satu kes saringan sekolah atau madrasah tahfiz. Satu kes saringan madrasah atau sekolah tahfiz di Negeri Sembilan dan satu kes di Sabah iaitu kes kontak rapat kepada kes kematian ke-119 (iaitu kes ke-8,403),” jelasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiga daripada 41 kes baharu yang dilapor adalah kes import iaitu warga Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes maut kekal sebanyak 121 kes iaitu 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak 54 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes itu sebanyak 7,400 kes iaitu 87.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 973 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” tambahnya.