40 Peratus Kerja Projek ECRL Diberi Kepada Bumiputera

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera dan tempatan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, berkata perkara itu termaktub dalam perjanjian yang dimeterai bersama syarikat China Communications Constructions Sdn Bhd (CCC).

“Pembabitan kontraktor Bumiputera dan tempatan dalam projek ini, sudah disebutkan dalam perjanjian dan pihak CCC perlu berusaha memberikan sub kontrak sebanyak 40 peratus daripada kerja sivil, tidak termasuk kerja terowong kepada kontraktor tempatan.

“Skop ini mewakili 48.9 peratus daripada keseluruhan projek bernilai RM21.49 bilion,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) meminta supaya kerajaan memastikan kontraktor tempatan diberi 70 peratus peluang kerja dalam projek mega termasuk ECRL.

Beliau menjawab soalan tambahan June Leow Hsiad Hui (PKR-Hulu Selangor) mengenai pembabitan kontraktor tempatan dalam projek berkenaan.

Menjawab soalan asal Hsiad Hui mengenai perkembangan projek itu, Hasbi berkata, pembinaan ECRL sudah mencapai kemajuan sebanyak 19.09 peratus setakat 31 Oktober lalu.

“Bagi Seksyen A iaitu dari Kota Bharu ke Dungun, skim keretapi diluluskan pada 14 Mei lalu merangkumi pembinaan enam stesen iaitu Kota Bharu, Pasir Putih, Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun. 

“Kelulusan ini adalah bertepatan dengan program kerja penyediaan tapak yang dilaksanakan bermula pertengahan tahun ini. Pada masa ini kemajuan kerja fizikal sudah mencapai 0.16 peratus mendahului jadual,” katanya.

Beliau berkata, kerja fizikal juga giat dilaksanakan di Seksyen B, iaitu jajaran dari Dungun ke Temerloh merangkumi kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan yang mana sudah mencapai 5.93 peratus sejak ia disambung semula pada Julai lalu.

“Kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir sudah pun dimulakan. Kerja pembinaan dijangkakan akan bermula di 101 lokasi di sepanjang Seksyen A dan B menjelang penghujung tahun ini. 

“Bagi Seksyen C pula iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang, kerajaan sedang mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan ECRL memberi impak ekonomi yang maksimum apabila disiapkan kelak. Jajaran yang terbaik dan memberi impak maksimum kepada rakyat akan diumumkan apabila kajian itu sudah lengkap,” katanya.

Justeru, beliau berkata, adalah penting supaya ECRL disambung semula secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan sebagai pemangkin ekonomi dan pekerjaan bagi kawasan di sepanjang jajarannya. – BH Online