4 Wakil Kerajaan PN Dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) sudah dimaklumkan mengenai wakil parti itu yang akan menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong, mengenai perintah darurat yang dilaksanakan ketika ini.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata empat wakil PN akan menganggotai jawatankuasa dianggotai 20 individu itu, merangkumi tokoh dalam bidang keselamatan, pertahanan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial dan tiga wakil pembangkang.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan nama wakil yang dicadangkan kerana belum mendapat perkenan baginda.

Jangan Risau… Klik Sini

“Kita tunggu pengumumannya dan kami semua berpuas hati dengan wakil yang dinamakan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, mengenai mesyuarat Majlis Presiden, malam tadi.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memaklumkan Ahli Majlis Presiden Kerajaan PN yang bermesyuarat berpuas hati dengan penjelasan berhubung ordinan dan pengurusan darurat serta pengurusan pandemik COVID-19 yang sedang dilaksanakan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) serta bekas Ketua Polis Negara (KPN) adalah di antara individu bakal dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong, mengenai perintah darurat yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Selain itu, beliau memaklumkan tokoh dalam bidang keselamatan, pertahanan, NGO serta aktivis sosial sudah dinamakan oleh kerajaan untuk diperkenan dan dilantik oleh baginda.

Mengulas lanjut mesyuarat Majlis Presiden itu, Vigneswaran menjelaskan mesyuarat itu berkisar pelaksanaan darurat yang sedang dijalankan dan rasional ia dilaksanakan seperti dititahkan Yang di-Pertua Agong.

Katanya, turut diperjelaskan mengenai program imunisasi yang akan dilaksanakan bulan depan dan bagaimana ordinan dalam darurat.

“Penjelasan ini memberi gambaran yang jelas kepada pucuk pimpinan parti dalam kerajaan PN mengapa tindakan darurat dilaksanakan supaya maklumat itu dapat disampaikan kepada akar umbi parti dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, pakar geostrategi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata objektif utama penubuhan majlis adalah untuk mendapat persetujuan secara konsensus pemimpin parti politik yang menyokong kerajaan PN dan ternyata mesyuarat pertama telah mencapai objektif.

Bagaimanapun, katanya, dalam isu darurat dan urus tadbir pandemik, masalah utama ialah pihak yang berada di luar PN yang berasa tersisih dan pandangan mereka diketepikan.

Sebab itu, katanya, hujah parlimen digantung digunakan sebagai alasan pembangkang supaya darurat sepatut ditarik balik kerana tidak wujud proses timbal balas.

“Namun, apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kebimbangan beliau mengenai hal darurat dan cara kerajaan tangani pandemik iaitu terdapat kelemahan.

“Setidaknya mesyuarat majlis tidak berjalan secara sehala iaitu semua yang hadir akur dan tidak kritis. Harapannya majlis akan menjadi satu landasan memperbaiki tadbir urus kerajaan dalam semua hal dan harapannya jangan hanya UMNO yang menjadi kritis kerana tidak mahu majlis dianggap sebagai ‘rubber stamp’ untuk setiap dasar kerajaan,” katanya.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN itu satu yang wajar dan baik dengan sistem demokrasi di negara ini. – BH Online