4 Sekeluarga Maut, Kereta Bertembung Treler

EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Km55 Jalan Kluang-Kota Tinggi, malam tadi.

Mereka yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohd Firdaus Januri, 33, Norlia Osman, 32 serta anak mereka Mohd Adli Mohd Firdaus, 5 dan Nur Dalili Mohd Firdaus, 4. Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Ahsmon Bajah, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu treler gagal mengawal kenderaannya yang kemudian memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua buah kereta iaitu Honda Civic dan Proton Saga.

“Empat sekeluarga yang menaiki Honda Civic maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Saga hanya mengalami luka-luka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu lori itu akan direman dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba, Abdullah Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.51 malam.

“Seramai lima anggota dengan sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian, kedua-dua mangsa kanak-kanak telah dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit selesai pada 12.58 tengah malam dengan mayat serta mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi. – BERNAMA

Loading...