4 Maut Toyota Avanza Dinaiki Langgar Trak Tunda

JOHOR BAHRU – Empat maut manakala dua cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Avanza dan trak tunda di KM14 Jalan Endau-Mersing, dekat Mersing, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Supt. Cyril Edward Nuing berkata mangsa yang maut adalah pemandu Toyota Avanza, Tengku Zahid Tengku Endut, 52, dari Taman Permint Perdana, Kuala Terengganu dan tiga penumpangnya, Kamaruddin Salim Mualaf, 50, dari Jerteh, Terengganu serta Mohammad Nurul Haq Mohamad, 22, dan Muhammad Shazriq Adam, 19, kedua-duanya dari Kuala Telemong, Terengganu.

Beliau berkata dua yang cedera ringan pula merupakan pemandu dan penumpang trak tunda, Ungku Mohd Sarizan Ungku Ahmad, 33, dan Moideen Seideli, 41, dari Felda Bukit Waha, Kota Tinggi.

“Polis menerima maklumat kemalangan terbabit pada 4.15 pagi. Siasatan awal mendapati Toyota Avanza yang dalam perjalanan dari Endau menuju Mersing itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sehingga berlaku pelanggaran dengan trak tunda terbabit,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Azhari Awi berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya itu menerusi talian MERS 999 pada 4.20 pagi tadi.

“Dua jentera, sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua kenderaan utiliti dari BBP Mersing dan Endau kemudian digerakkan ke lokasi kejadian berserta 22 anggota,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azhari berkata sejurus tiba, didapati terdapat empat mangsa tersepit di dalam Toyota Avanza dan mereka kemudian disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dari Hospital Mersing.

Beliau berkata pemandu dan penumpang trak tunda difahamkan bertindak keluar sendiri dari kenderaan mereka sebelum ketibaan bomba.

Katanya kesemua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 6.25 pagi tadi.

Loading...