4 Maut Dirempuh Ketika Berhenti Di Tepi Jalan

SUNGAI BULOH – Gara-gara berhenti di tepi jalan, empat maut termasuk seorang bayi dalam kemalangan di Kilometer 448.0 Lebuhraya Utara Selatan di sini tengah malam tadi.

Mangsa maut dikenali sebagai Asiah Mat, 74, Ain Fazira Mohd Yazid, 25, Nur Tiara Arisha Muhammad Taslim, 9 bulan dan Ruzi Osman, 54.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kemalangan maut itu melibatkan dua kenderaan iaitu Proton Satria dan Mitsubishi ASX.

“Siasatan dijalankan mendapati kemalangan membabitkan Proton Satria dan Mitsubishi ASX yang dalam perjalanan ke utara.

“Kejadian berlaku apabila Proton Satria dipandu lelaki berusia 31 tahun dikatakan berhenti kerana mengalami kerosakan sebelum dirempuh Mitsubishi ASX dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah belakang,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, kejadian mengakibatkan tiga mangsa dalam Proton Satria melambung keluar.

“Dua mangsa terlibat maut di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital semasa menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sungai Buloh (HSB).

“Pemandu Proton Satria sedang dirawat di zon merah Hospital Sungai Buloh, manakala pemandu Mitsubishi ASX mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih lagi dijalankan pihak polis.

“Orang ramai yang melihat kejadian diharap dapat menghubungi atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...