4 Letupan Kedengaran Pada Hari Pertama Gencatan Senjata Hodeida

DUBAI – Empat letupan kedengaran di bandar pelabuhan utama Yaman, Hodeida lewat malam tadi pada hari pertama gencatan senjata yang dipersetujui pada rundingan damai antara gerakan Huthi dan kerajaan sokongan Arab Saudi minggu lalu.

Seorang penduduk memberitahu, bunyi letupan itu kedengaran seperti tembakan meriam di bahagian timur dan selatan pinggir bandar Laut Merah iaitu pintu masuk utama untuk sumber makanan dan bantuan Yaman.

Beberapa penduduk lain pula berkata mereka turut mendengar letupan hampir sama dan tidak dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab manakala stesen televisyen milik Huthi, Al Masirah menuduh pasukan gabungan diketuai Arab Saudi melanggar peraturan gencatan senjata terbabit.

Jurucakap pasukan gabungan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Pertempuran meletus hampir setiap hari sebelum ia terhenti beberapa ketika apabila gencatan senjata berkuat kuasa tepat pada jam 12 tengah malam (waktu tempatan) Isnin lalu dan Hodeida masih kelihatan tenang semalam.

Kumpulan Huthi dan kerajaan pimpinan Mansour Hadi bersetuju melaksanakan gencatan senjata di bandar dikuasai Huthi dan membawa pasukan mereka keluar serentak dengan tekanan Barat untuk mengakhiri konflik empat tahun yang meragut ribuan nyawa serta mendatangkan ancaman kebuluran ke atas jutaan rakyat negara itu.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang mengetuai rundingan damai di Sweden cuba mengelakkan serangan skala penuh ke atas Hodeida selepas pasukan gabungan melancarkan serangan tahun ini untuk merampas pelabuhan iaitu lokasi penerimaan semua bantuan dan barangan komersil.

Pasukan gabungan Arab Saudi yang mendapat sokongan Barat dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencetuskan perang sivil pada tahun 2015 ke atas Huthi untuk mengembalikan semula kekuasaan kerajaan Hadi selepas disingkirkan dari ibu negara, Sanaa pada 2014. – Reuters/BH ONLINE

Loading...