4 Lelaki Disyaki Serang Adib Bebas Jamin Polis, Bon Mahkamah

PETALING JAYA – Empat lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim yang diserang pada awal pagi 27 Nov lalu dibebaskan daripada tahanan reman, hari ini.

Majistret Nurshahirah Abd Salim membenarkan dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jamin polis.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini telah direman selama empat hari bermula Jumaat, 7 Dis lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Pada prosiding itu, mereka diwakili peguam R. Sritheren.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib, 24 dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dua minggu lalu menyebabkan beliau mengalami patah rusuk dan beberapa kecederaan dalaman lain.

Muhammad Adib kini dilaporkan menunjukkan perkembangan positif namun masih bergantung kepada mesin sokongan jantung.

Sementara itu, Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan kes siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di kuil tersebut.

Lelaki itu ditahan bermula hari ini sehingga 15 Dis depan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Hari ini, Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun menegaskan tangkapan suspek kes berkaitan rusuhan itu masih sama (106 orang) dan tiada sebarang tangkapan baharu dilakukan pihaknya.

“Bagaimanapun, setakat Sabtu lalu, tujuh individu telah tampil beri keterangan daripada 66 individu dicari polis sebelum ini,” katanya. – BERNAMA