4 Kluster Baharu Di Kuala Lumpur, Selangor

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster baharu Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster itu adalah Kluster Kebun Baru, Kluster Sungai Burong, Kluster Tapak Bina Jalan Tun dan Kluster Jalan Pandan.

Menurutnya, Kluster Kebun Baru membabitkan daerah Kuala Langat, Selangor di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula hari ini melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

“Sehingga kini sejumlah 580 individu disaring di mana 95 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Kluster Sungai Burong pula membabitkan daerah Kuala Selangor di mana kes indeks bagi kluster ini (kes ke-91,410) iaitu Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan dilaporkan positif Covid-19 pada 19 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini sejumlah 167 individu disaring dalam kluster ini di mana 28 kes dikesan positif Covid-19.

“Kluster Tapak Bina Jalan Tun membabitkan tempat kerja di daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur di mana kes dilaporkan positif Covid-19 bermula hari ini melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

“Sejumlah 177 individu disaring di mana 26 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau berkata, kluster Jalan Pandan juga membabitkan tempat kerja di Lembah Pantai, Cheras, Kepong dan Titiwangsa, Kuala Lumpur serta daerah Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Langat, Selangor.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-84,263) dilaporkan positif Covid-19 pada 14 Disember lalu melalui saringan individu bergejala,” katanya.

Menurutnya, sejumlah 165 individu disaring di mana 30 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. – myMetro Online