4 Kluster Baharu Covid-19 Dikesan Di 5 Negeri

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat kluster berkaitan Covid-19 dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan empat kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 396 kluster di negara ini.

Menurutnya, kluster baharu dikenali Kluster Kupi-Kupi membabitkan daerah Penampang, Sabah dengan kes indeks (kes ke-67,316 dan 67,318) dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Disember hasil saringan individu bergejala.

Katanya, sejumlah 12 individu disaring yang mana kesemua dikesan positif dan KKM sedang giat mengesan kontak rapat.

“Bagi Kluster Tapak Bina Ikon Bintang membabitkan daerah Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur. 

“Kes bagi kluster ini dilaporkan positif bermula hari ini hasil saringan bersasar di tempat kerja di sebuah tapak pembinaan. Sejumlah 532 individu disaring dengan 12 kes dikesan positif,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Bandar Impian pula dilaporkan di Kluang, Johor; Pasir Puteh, Kelantan dan Kuala Kangsar, Perak.

Katanya, kes indeks (kes ke-67,156) adalah kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Disember lalu dan seramai sembilan kes dikesan positif.

“Kluster seterusnya adalah Kluster Jalan Kemang membabitkan daerah Port Dickson di Negeri Sembilan. Kes indeks (kes ke-71,123) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Disember melalui saringan individu bergejala. 

“Setakat hari ini, sejumlah 257 individu disaring termasuk 19 kes dikesan positif Covid-19,” katanya. – myMetro Online