4 Kementerian Baharu Wujud Tadbir Urus Lebih Sistematik

KUALA LUMPUR – Empat kementerian baharu dalam senarai Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mewujudkan persekitaran tadbir urus lebih sistematik dan berfokus serta berupaya memenuhi aspirasi memacu pembangunan negara, menurut penganalisis politik.

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, kementerian baharu itu juga akan mewujudkan pentadbiran lebih efisien.

Dalam barisan Kabinet yang diumumkan Muhyiddin Isnin lepas, empat kementerian baharu yang diwujudkan ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Alam Sekitar, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Kementerian Perpaduan Negara.

“Senarai kementerian baharu Kabinet kali ini secara keseluruhan mempunyai gabungan serasi antara pengalaman barisan pimpinan lama dan baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ismail berkata, pembentukan semula Kementerian Pengajian Tinggi merupakan satu langkah bijak kerana ia secara tidak langsung dapat melancarkan lagi pentadbiran pendidikan negara yang sebelum ini hanya diterajui oleh Kementerian Pendidikan.

“Pembahagian peringkat pendidikan adalah bersesuaian kerana falsafah mengenai pengajian tinggi serta sekolah rendah dan menengah adalah berbeza. Pengajian tinggi lebih fokus penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Selain itu, Ismail turut berkongsi pendapat mengenai kepentingan Kementerian Alam Sekitar dalam menangani pelbagai masalah yang timbul termasuk pencemaran sungai akibat pembuangan toksik seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada Mac tahun lepas.

“Kementerian Alam Sekitar memikul tanggungjawab terutamanya dalam melestarikan alam sekitar,” katanya.

Mengulas mengenai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) pula, beliau berkata, suara rakyat di kedua-dua negeri itu kini lebih terjamin melalui pembentukan kementerian baharu itu.

“Dengan adanya pengkhususan perihal Sabah dan Sarawak, pengurusan isu berkaitan kedua-dua negeri ini akan lebih fokus dan tertumpu,” katanya.

Menurut Ismail, golongan yang sering menimbulkan sentimen berkaitan isu bangsa, agama dan raja sebaliknya dapat dibendung melalui kewujudan dan peranan yang dimainkan Kementerian Perpaduan Negara.

“Hubungan keharmonian etnik serta perpaduan sejagat akan terus kekal terjamin dengan Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, rakyat perlu memberi ruang kepada menteri baharu untuk membuktikan kemampuan menerajui kementerian berikutan kurang pengalaman.

“Kita lihat sebelum ini menteri-menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) rata-rata tiada pengalaman sebagai menteri malah mengalami masalah untuk menyesuaikan diri. Kelebihan menteri-menteri baharu ini adalah mereka tidak menghadapi kekangan ini.

“Lagipun mereka ini rata-rata daripada golongan profesional yang berkelayakan dan berwibawa serta dikelilingi ramai lagi menteri-menteri lain yang sudah berpengalaman dan pastinya mereka akan saling kukuh-memperkukuhkan dalam urusan pentadbiran negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai enam yang dilantik senator bagi dilantik menjadi menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Senator berkenaan ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan); Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I); Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa); Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar) dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Penganalisis politik yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. P Sivamurugan berkata, penilaian prestasi sesebuah kerajaan tidak harus dilihat dari segi besar atau kecil jumlah jemaah menterinya, namun harus dinilai melalui prestasi mereka melicinkan pentadbiran kerajaan melalui kementerian masing-masing.

“Pelantikan jemaah menteri (dari segi ramai atau sedikit jumlahnya) sebenarnya terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dalam beliau melihat kepada keperluan semasa negara. Jadi saya tidak melihat 69 orang menteri dan timbalan menteri itu sebagai satu masalah, ia cuma nampak besar sebab kita ada empat menteri kanan dan juga kementerian baharu.

“Malahan Muhyiddin juga berjanji kabinet menteri yang dibentuk ini adalah mereka yang berkaliber dan akan berfungsi dengan baik. Kualiti dan pencapaian mereka yang patut kita lihat dan nilai,” katanya sebagai mengulas pandangan PKR yang menyifatkan Kabinet Muhyiddin ‘terlalu besar’ berbanding PH.

Pengarah Strategik Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil ketika ditemui di lobi Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara bersempena Program Pertahan Mandat Rakyat dilaporkan berkata semasa pemerintah PH, hanya 56 menteri yang dilantik dalam barisan kerajaan dengan 28 menteri manakala bakinya timbalan menteri. 

Loading...