4 Juta Notis Saman Trafik DBKL Belum Dibayar Pengguna Degil

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kira-kira empat juta notis saman kepada pesalah trafik melibatkan pelbagai kesalahan termasuk notis tertunggak sejak 2006.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata daripada jumlah itu hanya 104,646 notis saman dijelaskan membabitkan nilai kira-kira RM3.2 juta sejak DBKL menawarkan potongan diskaun kepada pesalah trafik bermula 1 Sept lepas.

“Bagi mengelak pesalah dibawa ke mahkamah dan disenarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mereka dinasihatkan supaya menjelaskan kompaun kesalahan trafik sebelum 30 Sept ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Tegasnya proses tindakan mahkamah dan disenarai hitam itu akan dikuatkuasakan serta merta selepas tempoh tawaran tamat pada hujung bulan ini.

DBKL sebelum ini menawarkan kadar khas kompaun serendah RM20 kepada pesalah trafik yang belum menjelaskan notis kompaun kesalahan tempat letak kenderaan bermeter dan lalu lintas bermula 1 Sept hingga 30 Sept ini.

Kompaun khas RM20 diberikan bagi pengguna motosikal, RM30 bagi kereta, MPV, van, lori kecil, pikap, 4WD dan SUV, manakala RM50 bagi kenderaan berat seperti lori besar, bas, kren, traktor dan treler.

Namun kadar khas itu tidak termasuk bagi kesalahan yang sudah disenarai hitam (status W) dan kes-kes mahkamah (U), sebutan mahkamah (M) dan waran tangkap (W), katanya.

Bayaran kadar khas itu boleh dibuat di beberapa lokasi antaranya kaunter bayaran dan kiosk DBKL, pejabat pos, aplikasi mudah alih DBKL Mobis dan portal dalam talian www.myeg.com atau e-bayar. – BERNAMA

Loading...