4 Gelandangan Positif COVID-19

KUALA LUMPUR – Empat gelandangan didapati positif COVID-19 manakala 14 lagi mempunyai gejala selepas disaring dalam operasi menyelamatkan golongan itu yang dilaksanakan beberapa agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu kota, jam 12 tengah malam tadi. 

Mereka adalah antara 56 gelandangan termasuk tiga wanita dan tujuh bukan warganegara yang diselamatkan pihak berkuasa dalam operasi itu yang berlangsung selama dua jam. 

Selepas diselamatkan, mereka menjalani ujian calitan COVID-19 dilaksanakan pegawai perubatan daripada kumpulan hospital KPJ serta Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL. 

Jangan Risau… Klik Sini

Empat individu yang positif COVID-19 dan 14 lagi yang bergejala dibawa ke Dewan Komuniti Setiawangsa untuk kuarantin manakala gelandangan lain yang diselamatkan ditempatkan sementara di dua Pusat Sementara Gelandangan (PSG) di Sentul Perdana dan Setiawangsa serta Anjung Singgah.

Penolong Pesuruhjaya DBKL, Mohd Hisham Izhar yang mengetuai operasi berkata operasi tertumpu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Silang, Perhentian Bas Klang, Pasar Seni, Masjid Negara, Dataran Merdeka dan jejantas Jalan Raja Laut.

Katanya, operasi disertai 109 pegawai dan anggota dengan kerjasama beberapa agensi lain. 

Antara agensi lain yang terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN). 

Mengulas operasi menyelamat itu, Mohd Hisham berkata, ada seorang gelandangan cuba melarikan diri dipercayai akibat panik selepas melihat kedatangan pihak berkuasa.

Dia yang bersembunyi di kawasan premis Medan Tuanku di sini, bagaimanapun dapat dikesan anggota penguat kuasa dan hasil ujian saringan COVID-19, lelaki warga Myanmar itu didapati positif COVID-19. – BH Online