4 Ditahan Kes Bunuh Pasangan Suami Isteri

NILAI – Polis menahan empat individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penemuan mayat sepasang suami isteri dalam sebuah rumah terbakar di Taman Desa Melati di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, tiga individu yang ditahan terbabit terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia di antara 30 hingga 45 tahun.

“Keempat-empat┬ámereka diberkas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai semalam sehingga awal pagi ini.

“Individu terbabit ditahan reman bermula hari ini sehingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penangkapan empat individu terbabit dan kaitan mereka dalam kes tersebut.

Semalam mayat sepasang suami isteri warga emas dipercayai dibunuh ditemui dalam sebuah rumah teres dua tingkat terbakar di Taman Desa Melati.

Pasangan suami isteri itu ialah bekas jurutera sebuah syarikat swasta, Tan Kim Joo, 73, dan bekas guru Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Labu, Ng Chong Hwa, 67.

Kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh anggota bomba yang ditugaskan memadamkan kebakaran rumah tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.

Mangsa dipercayai mati dibunuh berikutan terdapat kesan luka tikaman pada dada serta kesan luka di lengan tangan kiri mayat wanita yang ditemui dalam stor rumah itu.

Mayat lelaki yang ditemui di ruang dapur pula didapati terdapat kesan luka di pergelangan tangan kiri, cedera di dahi kanan dan kesan luka di lengan bawah tangan kanan.

Selain itu, polis turut menemui dua kotak mancis cap lada di hadapan pintu masuk stor rumah tersebut.

Loading...