3,744 Kes Baharu Covid-19, 17 Kematian Hari Ini

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 3,744 kes jangkitan baharu Covid-19, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhannya kepada 424,376 kes.

Ia meningkat berbanding 3,120 kes dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu tujuh adalah kes import manakala selebihnya penularan tempatan.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,548 kes (41.3 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 1,051 kes (67.9 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Kelantan sebanyak 480 kes (12.8 peratus) dan Sarawak sebanyak 419 kes (11.2 peratus).

“Sebanyak 34 kes (0.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di pusat tahanan dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) iaitu Kluster Pagar Sri Lalang (31 kes), Kluster Jalan Meru Utama (dua kes), dan Kluster DTI Lenggeng (satu kes),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,304 kes sembuh dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kes sembuh setakat ini ialah 389,846 kes.

“Sebanyak 328 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU), 185 daripadanya menerima bantuan pernafasan.

“Terdapat 17 kes kematian pada hari ini membabitkan sembilan kes di Selangor, masing-masing dua kes di Johor, Perak, dan Sarawak, serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Negeri Sembilan. Semua kes kematian membabitkan warganegara,” katanya. – myMetro Online