3,680 Kes Baharu Covid-19, 7 Kematian Hari Ini

KUALA LUMPUR – Memasuki minggu ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes harian positif Covid-19 dalam negara masih kekal empat angka apabila merekodkan 3,680 kes dengan tujuh kematian, hari ini.

Negara terus merekodkan kes harian melebihi 3,000 kes hampir setiap hari, malah tiga kali dalam tempoh itu mencatat lebih 4,000 kes, pada 16, 20 dan 23 januari lalu.

Kali terakhir negara merekodkan jangkitan di bawah 3,000 kes pada 13 Januari lalu dengan 2,985 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak di negara ini meningkat kepada 194,114 kes dan kes aktif pula mencatatkan 42,389 kes. 

Menurutnya, 3,674 kes hari ini membabitkan penularan tempatan manakala hanya enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. 

“Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,069 kes (29.0 peratus). Daripada jumlah itu, 961 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti Selangor (822 kes) dan Kuala Lumpur (698 kes). 

“Sebanyak 64 kes (keseluruhan) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (33 kes), Kluster Tembok Renggam (16 kes), Kluster Damai Pelangi (9 kes), Kluster DTI Sepang (2 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (2 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes) dan Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 314 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 122 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Katanya, ada 1,858 kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya 151,018 kes atau 77.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

Selain itu, katanya, sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan tiga kes dari Selangor, dua kes dari Perak dan masing-masing satu kes dari Sarawak dan Sabah. 

“Kesemua kes kematian membabitkan warganegara berusia antara 55 hingga 84 tahun,” katanya yang turut memaklumkan kes kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 707 kes kematian. – myMetro Online