3,631 Kes Baharu Covid-19, 14 Kematian

KUALA LUMPUR – Situasi wabak Covid-19 yang melanda negara terus mencatatkan angka kes baharu dan kematian yang tinggi hari ini.

Sebanyak 3,631 kes baharu positif Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 165,371 kes dengan jumlah kes aktif 39,464 kes serta 14 kematian dicatatkan. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tujuh kes import dilaporkan, manakala 3,624 kes lagi membabitkan penularan tempatan. 

“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,199 kes diikuti Sabah (526 kes) dan Kuala Lumpur (521 kes). 

“Sebanyak 310 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan Imigresen membabitkan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (217 kes), Penjara Jalan Harapan (47 kes), Kluster Tembok Nanas (22 kes), Kluster Damai Pelangi (19 kes), Kluster Tembok Mempaga (3 kes), Kluster Matambai (1 kes) dan Kluster Telok Mas (1 kes),” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini. 

Noor Hisham berkata, terdapat 238 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 96 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

“Sebanyak 2,944 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 125,288 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

“Terdapat 14 kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan sembilan lelaki serta tiga wanita tempatan selain masing-masing seorang wanita dan lelaki warga asing berusia antara 47 hingga 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik di Perak, Selangor, Kedah, Kelantan, Sarawak, Johor dan Labuan. 

“Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 619 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – myMetro Online