346,971 Sudah Terima 2 Dos Suntikan Vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR – Seramai 360,971 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka sehingga semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama seramai 558,750 sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 919,721. 

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 75,225, diikuti Sarawak (57,466), Perak (52,548), Sabah (52,322) dan Kuala Lumpur (51,100). 

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 48,493 individu diikuti Sabah (39,089), Perak (34,436), Kuala Lumpur (32,141) dan Sarawak (29,873). 

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan sehingga semalam seramai 8,309,480 atau 34.30 peratus sudah mendaftar dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,237,971.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU), manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – BERNAMA