3,414 Sembuh, 6 Kematian, 2,192 Kes Baharu COVID-19

KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 menurun hari ini dengan 2,192 kes direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan tempatan merekodkan 2,189 kes dan bakinya adalah kes import.

Menurutnya, KKM merekodkan 3,414 kes sembuh menjadikan kumulatif kes sembuh di Malaysia berjumlah 252,623.

Katanya, seramai 199 pesakit masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 91 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

“KKM merekodkan enam lagi kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 1,062 kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 910 kes.

Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak 742 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan. 

“Kes kedua tertinggi adalah Kuala Lumpur sebanyak 303 kes manakala Sarawak sebanyak 221 kes. Sebanyak 109 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen,” katanya.

Beliau berkata, KKM merekodkan lapan kluster baharu hari ini dengan tujuh kluster berkaitan tempat kerja dan satu membabitkan komuniti.

Tambahnya, kluster baharu di Selangor adalah Tapak Bina Jalan Kota, Tapak Bina Lombong Timah Selangor dan Pasar Jalan Putra manakala kluster Tapak Bina Sungai Batu di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata, kluster lain adalah kluster Industri Sungai Gadut di Negeri Sembilan, Hilir Sungai Kluang di Pulau Pinang, Sungai Bakong dan Emperoh Jambu di Sarawak. – myMetro Online